Apa tujuan kita hidup di dunia ini?

PADA setiap khutbah Jumaat, khatib akan berpesan dengan ayat al-Quran: Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu. (Quran, 51:56)

Ini dilakukan untuk mengingatkan para jemaah tentang tujuan hidup kita di dunia ini. Namun, pernahkah terlintas dalam pemikiran kenapa kita perlu beribadah kepada Allah SWT?

Persoalan ini sangat penting dan memerlukan perhatian serius. Jika dibiarkan, ia boleh membawa kepada mudarat yang sangat besar seperti keruntuhan akhlak, peningkatan jenayah, melemahkan kepercayaan dan menipiskan keyakinan terhadap Islam sehingga mengakibatkan kehilangan hala tuju hidup. Bahkan, akhirnya boleh membawa kepada murtad dan ateisme di kalangan orang Islam khususnya golongan belia.

Lebih-lebih lagi, krisis global akibat wabak Covid-19 yang sedang melanda berserta pelbagai salah laku seperti rasuah yang berleluasa di tanah air merupakan peristiwa-peristiwa hitam yang perlu diinsafi dan dijadikan iktibar. Allah berfirman,

Telah terlihat kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusia, Allah mahu mereka merasakan sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar). (Q, 30:41)

Dalam apa jua situasi kehidupan sama ada baik atau buruk, kita perlu sentiasa kembali kepada Allah agar perjalanan hidup kita sentiasa berada di landasan yang diredhaiNya.

Perjanjian Roh

Berbalik kepada persoalan tentang tujuan kehidupan kita di dunia, Allah berfirman, Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan daripada sulbi (tulang belakang) anak cucu Adam keturunan mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap roh mereka (seraya berfirman), Bukankah Aku ini Tuhanmu? Mereka menjawab, Benar (Engkau Tuhan kami), kami bersaksi. (Kami lakukan demikian) agar di hari Kiamat kamu tidak mengatakan, Sesungguhnya kami leka terhadap ini. (Q, 7:172)

Peristiwa agung yang diceritakan dalam ayat di atas dikenali sebagai Perjanjian Alastu (ataupun Al-Mithaq), yang mana Allah telah menghimpunkan kita semua, dalam keadaan roh tanpa jasad, untuk membuat pengakuan dan penyaksian bahawa Allah adalah Tuhan kita semua. Peristiwa tersebut berlaku selepas Allah menciptakan Nabi Adam AS tetapi sebelum baginda diturunkan ke muka bumi.

Menurut Imam Al-Junaid Al-Baghdadi, tujuan Allah menurunkan kita semua ke bumi (menerusi Nabi Adam) adalah untuk membuktikan kepadaNya bahawa kita berpegang teguh kepada Perjanjian Alastu. Ini bermakna, keseluruhan sejarah peradaban manusia, bermula dengan turunnya Nabi Adam ke muka bumi sehinggalah ketibaan Hari Kiamat merupakan jalan cerita atau naratif kita untuk memenuhi Perjanjian Alastu. Maka, kehidupan di dunia adalah ujian untuk kita semua membuktikan kepada Allah siapa yang taat setia kepada Perjanjian Alastu dan siapa yang tidak. Ini kerana setelah roh kita memperoleh tubuh badan dan dilahirkan di dunia, kita lupa tentang janji kita lantaran tenggelam dalam tarikan dan kelazatan duniawi serta tewas kepada godaan syaitan sehingga terjebak dengan pelbagai bentuk maksiat termasuklah rasuah.

Selain Al-Junaid, Sahl At-Tustari pula berpendapat bahawa kita harus prihatin dalam hal-hal kehidupan seharian di dunia ini agar termasuk dalam golongan yang mengesahkan pengakuan Benar, kami bersaksi kerana kita pasti akan disoal tentangnya di akhirat kelak. Pengesahan ini adalah untuk merealisasikan tauhid, iaitu mengesakan Allah dalam segenap aktiviti kehidupan harian. Tambah At-Tustari lagi, ketika peristiwa Perjanjian Alastu, Allah juga telah mengambil perjanjian daripada para nabi dan rasul sebagaimana firmanNya,

Dan ingatlah ketika Kami mengambil perjanjian daripada para nabi dan daripada engkau (Muhammad), daripada Nuh, Ibrahim, Musa, dan Isa putera Maryam, Kami telah mengambil daripada mereka perjanjian yang teguh. (Q, 33:7)

Selaku Pencipta, Allah mengetahui bahawa manusia akan lupa tentang Perjanjian Alastu apabila mereka dilahirkan di dunia. Jadi, Allah telah mengutuskan para nabi dan rasul untuk menyampaikan mesej tauhid dan syariat bagi mengingatkan mereka kembali tentang pengakuan Benar, kami bersaksi yang tertanam di dalam lubuk hati setiap manusia.

Malah, bukankah lafaz kalimah syahadah juga berbunyi, Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan (yang disembah) melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah? Ini kerana kesaksian dalam kalimah syahadah ialah kesinambungan daripada Perjanjian Alastu. Oleh itu, kita perlu rajin berdoa kepada Allah memohon hidayah dan taufikNya, kerana seperti di akhir ayat 7:172, pada Hari Kiamat kita tiada alasan untuk menjustifikasikan kelalaian kita terhadap hakikat ini.

Justeru, apabila kita dapat menghayati makna ayat 7:172, barulah kita dapat menghayati juga makna ayat 51:56, iaitu kita dijadikan untuk menyembah dan beribadah kepada Allah kerana roh kita sendiri telah berjanji untuk berbuat demikian. Namun, ini tidak bererti kita hanya diperintahkan untuk melakukan ibadat khusus semata-mata seperti bersolat, berpuasa dan berzikir sahaja sehingga tanggungjawab terhadap ahli keluarga, masyarakat dan negara diketepikan kerana kesemua itu juga adalah perintah Allah yang wajib dilaksanakan dan akan disoal di akhirat nanti.

Dunia Ialah Medan Ujian

Ingatlah, Allah mengurniakan roh kita pakaian berupa tubuh badan untuk diuji di dunia sejauh mana kita berpegang kepada janji roh kita. Lantaran itu, Allah telah jadikan dunia ini sebagai medan ujian. Oleh kerana bumi dipilih sebagai medan ujian, maka pakaian roh kita semua mestilah diperbuat daripada bahan asas bumi, yakni tanah. Terdapat beberapa ayat Al-Quran yang menegaskan bahawa dunia ini ialah medan ujian, antaranya,

Dan Dialah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa,.. untuk Dia menguji siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya. (Q, 11:7)

Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, untuk Kami menguji mereka, siapakah di antara mereka yang terbaik amalannya. (Q, 18:7)

Oleh demikian, ujian sebenar bagi kita ialah bagaimana di sebalik kesibukan kerja, urusan keluarga, kegiatan sosial dan perihal duniawi, kita tetap dapat mengotakan janji kita. Kaedahnya bermula dengan niat untuk menetapkan semula (reset) dan menjajarkan semula (realign) hala tuju kehidupan dengan mengorientasikan segala aktiviti harian ke arah naratif pengabdian dan ketauhidan kepada Allah. Tidak kiralah apa jua pekerjaan sama ada guru, doktor, jurutera, peguam, akauntan atau ahli perniagaan mahupun pemimpin politik, kita wajib sedaya upaya memastikan kesemua usaha dan hasil kerja kita berlandaskan syariah supaya menjadi ibadah, yakni sebagai bukti kita berpegang teguh kepada Perjanjian Alastu. Manakala apa-apa aktiviti yang tidak boleh dijadikan bukti, kita elakkan misalnya rasuah. Barulah ikrar Benar, kami bersaksi terbukti benar di sisi Allah SWT.

Ayuh, marilah kita bersama-sama reset dan realign hala tuju dan naratif kehidupan kita di dunia ini supaya fokus utama ialah untuk memenuhi Perjanjian Alastu sekaligus mentauhidkan Allah!

**Khairuddin Aziuddin ialah Ketua Pegawai Eksekutif Insan Siddiq Berhad